Pengenalan kakkUMP
Melangkah ke alam pekerjaan bermakna selangkah mahasiswa bergerak ke hadapan. Suasana atau dimensi pekerjaan sudah tentu berbeza dengan suasana pembelajaran yang bercorak formal di menara ilmu. Di universiti, proses pembelajaran menjadi wadah kepada pelajar mencari ilmu untuk nilai segulung ijazah. Proses pembelajaran ini tentunya diperoleh daripada pelbagai bahan melalui aktiviti secara formal atau tidak formal.
Suasana ini berubah apabila mereka mula melangkah ke dunia pekerjaan. Di bahu mereka tergalas segala amanah dan imej organisasi masing-masing. Setiap tindakan dan tingkah laku menjadi kayu pengukur ke atas keupayaan sebenar graduan Universiti Malaysia Pahang dalam melahirkan pekerja yang berkualiti.
Golongan siswa siswi ini memerlukan bimbingan dan panduan dalam menyiapkan diri mereka agar lebih bersedia menghadapi dunia luar yang amat mencabar. Mengikut kajian, faktor tiada pengalaman dalam menghantar resume dan menghadiri temuduga juga menyebabkan mereka ini seringkali gagal dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan akademik yang dilmiliki sehingga menyebabkan mereka terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan tidak digelar penganggur terhormat. Selain itu, ketidaksesuaian program pengajian dengan kehendak pasaran kerja juga menyebabkan para graduan ini menjadi mangsa keadaan dan malas untuk berusaha.
Faktor kelemahan dalam menggunakan Bahasa Inggeris atau kurangnya kemahiran insaniah di kalangan para graduan telah menyebabkan kadar pengangguran di Malaysia semakin meruncing. Atas dasar ini, Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Pusat Keusahawanan serta Bahagian Pentadbiran & Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Pahang melihat satu kepentingan untuk menjalankan program seumpama ini.
Maka dengan adanya program seumpama ini, satu platform untuk membantu para pelajar Universiti Malaysia Pahang akan dapat dibuat agar seruan kerajaan untuk menjana modal insan yang bermutu pada masa akan datang dapat dihasilkan. Seterusnya diharap dapat memberi panduan kepada mahasiswa membuat persiapan dalam merancang kerjaya masing-masing.
OBJEKTIF
- Memberikan pendedahan tentang pengalaman menghadapi temuduga dan memohon pekerjaan kepada pihak industri hingga meningkatkan keyakinan di kalangan para pelajar tahun akhir untuk berhadapan dengan dunia.
- Memberikan input - input baru berkaitan maklumat industri kepada para peserta yang terlibat dalam membantu mereka menyediakan persiapan memenuhi kehendak industri.
- Menanam semangat keusahawanan di kalangan para peserta agar memilih bidang ini sebagai kerjaya pilihan melalui perkongsian maklumat mengenai peluang untuk menjadi usahawan (Self Employment).
- Mempereratkan hubungan yang erat dan baik antara universiti, industri dan agensi-agensi awam dalam usaha membekalkan tenaga kerja untuk keperluan negara.
- Memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi dan membina jaringan dengan wakil-wakil dari agensi kerajaan dan swasta dari pelbagai sektor.
- Menggalakkan penyertaan sekolah-sekolah, IPT sekitar negeri Pahang serta Pusat – pusat Matrikulasi terpilih melalui program-program sampingan yang dijalankan semasa karnival berlangsung.